Walaupun saya belum berkahwin dan tidak mempunyai anak, namun setelah menjadi nanny kepada anak saudara saya Nath sejak beliau berusia 3 bulan, saya memahami kerisauan yang dialami oleh para ibu bapa tentang kesihatan anak mereka.
Apa agaknya ciri-ciri anak yang sihat? Terdapat 10 tanda yang boleh kita kenalpasti untuk memastikan bahawa anak-anak kita betul-betul membesar secara sihat. Jom kita baca.
1. Pertambahan berat dan ketinggian yang sihat
Anak yang sihat akan bertambah berat dan tingginya secara sihat. Ini bermaksud, anak tersebut mengalami pertambahan berat dan tinggi yang sesuai dengan umurnya. Jika anak anda tidak terlalu kurang atau lebih berat badan, itu maksudnya anak anda sihat.
Anak yang ceria dan sihat Image courtesy of David Castillo Dominici at FreeDigitalPhotos.net |
2. Sentiasa peka dan ceria
Anak yang sentiasa peka dan ceria tentunya anak yang sihat. Anak tersebut akan kelihatan suka bermain dan bergelak ketawa, serta boleh memberi respons yang baik kepada sesiapa yang bercakap atau bermain dengannya.
3. Sentiasa aktif
Anak yang sentiasa aktif juga menandakan bahawa anak itu sihat. Anak yang kurang aktif atau lemah mungkin kurang sihat. Jadi selalu pastikan anak kita aktif dan tidak lemah longlai kerana mungkin anak itu demam atau sakit.
4. Belajar dengan cepat dan baik
Anak yang belajar dengan cepat dan baik semestinya petanda anak yang sihat. Perkembangan otak yang baik, ditambah dengan pemakanan yang sihat, membantu anak-anak untuk cepat mempelajari sesuatu yang baru. Anak yang sihat juga akan menunjukkan minat untuk belajar, dan akan sentiasa mahu berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya.
5. Selera makan yang baik
Anak anda memilih makan, atau suka makanan ringan sahaja? Berhenti memberi anak-anak makan makanan ringan dan bantu mereka untuk meningkatkan selera makan. Sebaiknya beri mereka makanan yang sihat dan yang terbaik semestinya yang kita sediakan sendiri di rumah. Selera makan yang baik menunjukkan anak kita mempunyai kesihatan yang baik.
6. Gigi yang kuat dan sihat
Anak yang sihat mempunyai gigi dan gusi yang kuat dan sihat, serta bersih. Jangan risau jika anak-anak mempunyai gigi susu yang kurang tersusun atau lambat tumbuh.
Anak sedang memberus gigi Image courtesy of Sura Nualpradid at FreeDigitalPhotos.net |
7. Postur badan yang baik
Postur badan yang baik adalah penting untuk membina keyakinan diri dari usia yang muda. Anak-anak yang duduk dan berdiri dengan postur yang baik adalah anak-anak yang sihat.
8. Tulang dan otot yang kuat
Anak-anak yang aktif semestinya mempunyai tulang dan otot yang kuat. Galakkan anak-anak untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bermain, berlari dan sebagainya.
9. Tidur yang nyenyak
Tidur yang nyenyak dan berkualiti adalah penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Pastikan anak-anak tidur dalam keadaan yang selesa, tidak terlalu sejuk atau terlalu panas, dan tiada gangguan gigitan nyamuk atau kutu tilam (bed bugs).
10. Membuang air besar secara tetap
Pastikan anak-anak tidak mempunyai masalah pencernaan dan pembuangan. Ini adalah penting untuk memastikan mereka mempunyai kesihatan sistem pencernaan yang sempurna.
Bagaimana kita nak pastikan bahawa anak-anak mempunyai kesemua 10 ciri-ciri di atas?
Senang saja. Berikan anak-anak kita zat pemakanan yang mencukupi mengikut umur dan keperluan mereka, dan daripada sumber yang sihat, dan pastikan anak-anak kita sentiasa gembira dan ceria. Luangkan sebanyak masa yang mungkin bersama mereka, kerana anak-anak membesar dengan sangat cepat. Nikmati pengalaman yang tidak ternilai ini dan hargailah anak-anak syurga kita.
Cap comentari:
Publica un comentari a l'entrada