Saturday, 5 September 2015

7 Bahaya Pemanis Tiruan Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Pemanis tiruan menjadi pilihan kepada ramai orang, terutama sekali mereka yang ingin berdiet dan tidak mahu mengambil gula biasa yang mempunyai kalori. Namun begitu, pemanis tiruan telah lama menjadi topik perbincangan, terutamanya mengenai kesan buruknya kepada kesihatan.

7 Bahaya Pemanis Tiruan Kepada Kesihatan
7 Bahaya Pemanis Tiruan Kepada Kesihatan

Jom baca tentang 7 bahaya pemanis tiruan yang mungkin anda tidak tahu.

1. Mengelirukan deria rasa
Pemanis tiruan adalah ratusan, malah ribuan kali lebih manis daripada gula biasa. Pemanis seperti Stevia yang berasal daripada pokok herba adalah 200 hingga 300 kali lebih manis daripada gula biasa. Sucralose, yang dipasarkan di bawah nama Splenda, adalah 600 kali lebih manis daripada gula, dan neotame, alternatif kepada aspartame, adalah 7000 kali lebih manis daripada gula biasa. Terdapat bukti yang menyatakan bahawa apabila deria rasa manusia didedahkan kepada rasa yang terlalu manis, lambat laun akan menjadi lali kepada rasa asli lain seperti kemanisan buah-buahan. Ini menyebabkan anda inginkan makanan yang jauh lebih manis.

2. Mengelirukan sistem penghadaman
Perut anda akan keliru apabila anda makan pemanis tiruan yang tidak mempunyai kalori. Rasa manis pemanis tiruan menghantar isyarat kepada perut bahawa anda sedang makan makanan yang berkalori tinggi, jadi perut anda menunggu makanan yang sememangnya tinggi kalori tetapi sebaliknya tidak. Ini menyebabkan perut anda tidak memproses makanan dengan baik, dan seterusnya mengganggu isyarat badan anda apabila anda benar-benar lapar.

Contoh pemanis tiruan yang popular - Splenda, Equal, Sweet 'N Low
Contoh pemanis tiruan yang popular - Splenda, Equal, Sweet 'N Low

3. Mengganggu keseimbangan hormon
Apabila anda makan makanan yang manis, walaupun ianya tanpa kalori, badan anda masih akan menghasilkan hormon insulin, seolah-olah anda makan gula biasa yang berkalori. Insulin menjurus kepada peningkatan gula mendadak dalam darah, yang meningkatkan keinginan untuk makan (cravings). Terdapat satu kajian yang mendapati bahawa pemanis tiruan menghalang tubuh daripada menghasilkan hormon GLP-1, yang berfungsi mengawal kadar gula dalam darah dan kepuasan makan. Apabila digabungkan, kesan kedua-dua hormon ini akan menyebabkan anda menjadi lebih lapar dan makan berlebihan.

4. Menggalakkan makan berlebihan
Pemanis tiruan boleh menyebabkan anda makan berlebihan. Makanan yang berlemak, dan bergula tinggi memberi isyarat kepada otak bahawa makanan tersebut adalah berkalori tinggi. Namun, makanan berpemanis tiruan selalunya mempunyai tekstur dan rasa yang tidak memberi rasa yang puas, berbanding makanan biasa. Oleh itu, kebolehan semulajadi kita untuk mengawal pemakanan akhirnya menjadi lemah akibat mengambil makanan yang mengandungi pemanis tiruan.

BACA: Gula Makanan Kanser? Dan Lagi 9 Sebab Untuk Berhenti Ambil Gula

5. Meningkatkan risiko diabetes
Menurut kajian, peminat minuman berkarbonat diet (diet soda) menghadapi risiko tinggi untuk mendapat diabetes atau kencing manis tahap 2, dan didapati mempunyai kecenderungan untuk mengalami kegemukan atau obesiti berbanding mereka yang minum minuman berkarbonat biasa. Ini disebabkan kaitan diet soda yang tidak mengandungi kalori, sama seperti pemanis tiruan, dengan kegagalan mereka mengawal keinginan makan yang berlebihan akibat kekeliruan badan mereka apabila mengambil diet soda secara kerap.

Pemanis tiruan sering ditambah ke dalam minuman seperti kopi dan teh
Pemanis tiruan sering ditambah ke dalam minuman seperti kopi dan teh

6. Mencemarkan alam sekitar
Pemanis tiruan dicipta untuk tahan lama dalam badan manusia supaya tidak dapat dipecahkan dan tidak menambah kalori. Ini menjadikan pemanis tiruan kekal dalam bentuk asalnya dan sukar diuraikan dalam alam sekitar, walaupun terdedah kepada cahaya, oksigen dan mikroorganisma. Penyelidik dari Sweden telah mendapati bahawa terdapat sucralose dan acesulfame K dalam air yang dirawat.

7. Diubah genetik menjadi GMO
Pemanis tiruan seperti sucralose, aspartame, neotamae, dan erythritol boleh dibuat daripada jagung, kacang soya, dan sugar beets. Di Amerika Syarikat, kebanyakan tanaman tersebut telah diubah genetiknya menjadi Genetically Modified Organisms (GMO) supaya boleh melawan serangga perosak. Tumbuhan yang telah menjadi GMO mungkin membahayakan kesihatan dalam jangka masa panjang, kerana ianya telah diubah dari segi genetik dan tidak asli.

Saya memang tidak pernah mengambil minuman atau makanan dengan pemanis tiruan. Sebaik-baik makanan adalah yang asli, dan saya cuba untuk mengurangkan makanan dan minuman yang diproses. Jika ingin makan sesuatu yang manis, biarlah dimaniskan dengan gula biasa yang asli, dan biarlah kita makan dengan bersederhana.



Sebarang pertanyaan/order, hubungi saya:

Debbie Elara
SID 1107197
WA/SMS: 012-3940017 | debbietehin@gmail.com
Poslaju/GDex: Seluruh Malaysia
COD: Kuching | Bayaran: CIMB, MBB

facebook page google plus instagram pinterest twitter tumblr

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...