dimecres, 9 de setembre del 2015

Homeschooling dan 8 Kebaikannya Untuk Anak-Anak

Homeschooling merupakan sesuatu yang agak baru di negara kita. Namun begitu, ramai ibubapa terutama sekali ibu-ibu yang menjadi surirumah sepenuh masa berminat dengan homeschooling sebagai persediaan sebelum anak-anak melangkah ke prasekolah atau tadika.

8 Kebaikan Homeschooling Untuk Anak-Anak
8 Kebaikan Homeschooling Untuk Anak-Anak

Di banyak negara barat seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, homeschooling sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Ramai ibubapa yang mahu mengajar sendiri anak-anak di rumah kerana ingin lebih dekat dengan anak-anak mereka. Anak-anak ini melalui homeschooling sejak kecil, sehinggalah mereka berumur 18 tahun dan menamatkan sekolah menengah.

Jom kita baca 8 kebaikan homeschooling untuk anak-anak yang membolehkannya menjadi pilihan ramai ibubapa.

1. Belajar secara one-on-one
Semakin kecil nisbah pelajar kepada guru, semakin banyak tumpuan boleh diberi kepada pelajar dan melalui homeschooling, anak-anak boleh mendapat tumpuan one-on-one semasa belajar dan bermain. Setiap anak boleh belajar satu kemahiran asas atau konsep sehingga benar-benar faham dan mahir sebelum diajar kemahiran yang baru dan lebih sukar.

2. Berdasarkan keperluan anak
Homeschooling dijalankan berdasarkan keperluan anak-anak. Ibubapa boleh menilai kelebihan, kekurangan, cara belajar, dan minat anak-anak. Homeschooling juga memberi kebebasan kepada ibubapa untuk menyesuaikan pelajaran dengan anak-anak untuk memperbaiki kelemahan dan memberi fokus kepada minat dan bakat anak-anak. Ini memberi motivasi kepada anak-anak untuk belajar, dan seterusnya menggalakkan anak-anak untuk cintakan ilmu.

3. Menggalakkan anak berdikari
Anak-anak yang melalui homeschooling cenderung untuk berfikir secara bebas dan lebih berdikari. Mereka juga lebih gemar bertindak bebas tanpa terikut-ikut dengan kawan-kawan lain. Pelajar universiti yang pernah melalui homeschooling sering berasa yang mereka lebih matang berbanding rakan-rakan yang tidak melalui homeschooling, kerana mereka boleh berfikir dan membuat keputusan sendiri serta tidak mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Elakkan anak daripada berasa bosan dengan belajar secara bermain
Elakkan anak daripada berasa bosan dengan belajar secara bermain

4. Mengelakkan rasa bosan
Dengan homeschooling, anak-anak tidak akan mudah berasa bosan. Ini adalah kerana sistem pembelajaran yang disuaipadan dengan minat dan bakat anak-anak yang membantu mereka lebih konsisten dalam memberi lebih tumpuan semasa belajar. Selain itu, anak-anak juga tidak perlu membuang masa belajar sesuatu yang mereka sudah mahir dan boleh mula belajar sesuatu yang baru sebaik dalam masa yang lebih singkat.

BACA: 5 Manfaat Homeschooling Untuk Ibubapa

5. Menggalakkan belajar untuk ilmu dan bukan untuk dinilai
Homeschooling menggalakkan anak-anak untuk minat belajar demi ilmu pengetahuan dan bukan untuk markah yang tinggi atau gred semata-mata. Anak-anak akan secara semulajadinya berminat untuk belajar benda-benda baru dan tidak menjadikan gred sebagai kayu ukur untuk kepandaian atau kemahiran mereka.

6. Memberi persekitaran yang selamat
Homeschooling memberi suasana belajar yang selamat. Anak-anak yang diajar di rumah tidak terdedah kepada usikan, buli, tekanan negatif dan pengaruh buruk daripada rakan sebaya, dan dalam kes yang lebih teruk, guru-guru yang tidak beretika. Anak-anak juga sentiasa di rumah berbanding di luar, dan ini membolehkan ibubapa mengawasi mereka dan boleh mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Anak-anak boleh belajar banyak perkara baru di luar rumah
Anak-anak boleh belajar banyak perkara baru di luar rumah

7. Mengeratkan hubungan kekeluargaan
Homeschooling membantu menguatkan hubungan kekeluargaan, dan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak adalah lebih erat. Ibubapa boleh melihat anak-anak membesar dan boleh membina memori bersama anak-anak setiap hari. Keluarga juga boleh melancong bersama-sama tanpa perlu mengorbankan masa belajar anak-anak.

8. Memberi tumpuan kepada anak istimewa
Homeschooling memberi ruang kepada ibubapa untuk memberi lebih tumpuan kepada anak-anak istimewa. Selain itu, homeschooling juga mengelakkan anak-anak hyperaktif yang sebenarnya bijak daripada dilabel secara tidak adil oleh masyarakat dan rakan sebaya.

Pada pendapat saya, homeschooling merupakan sesuatu yang amat menarik dan saya sendiri sebagai pengasuh sepenuh masa kepada anak saudara saya, ingin sekali mengaplikasikan ilmu mengenai homeschooling yang telah saya baca. Mungkin homeschooling boleh mengasah bakat dan minat anak-anak dengan lebih awal? Tidak salah sekiranya kita sebagai ibubapa inginkan anak-anak yang pintar dan bersahsiah tinggi bukan?



Sebarang pertanyaan/order, hubungi saya:

Debbie Elara
SID 1107197
WA/SMS: 012-3940017 | debbietehin@gmail.com
Poslaju/GDex: Seluruh Malaysia
COD: Kuching | Bayaran: CIMB, MBB

facebook page google plus instagram pinterest twitter tumblr

2 comentaris:

  1. Nampak gayanya nak kena buat macam ni gak kat anak sulong saya tu..

    ResponElimina
    Respostes
    1. Boleh jer try. Persediaan untuk alam persekolahan :)

      Elimina

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...